Wednesday, November 25, 2009

Perak guna KPI tahun depan

Kerajaan negeri akan menggunakan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dalam melantik semula ahli majlis daerah dan perbandaran di negeri ini tahun depan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, pendekatan itu diambil bagi memastikan ahli majlis memenuhi tanggungjawab dan bertugas dengan penuh efisien untuk rakyat.
Beliau berkata, pihaknya tidak mahu melantik ahli majlis baru yang tidak mempunyai peranan dan tidak membantu menyelesaikan masalah rakyat.
''Kerajaan negeri tidak teragak-agak untuk menggugurkan mana-mana ahli majlis sebelum ini yang tidak membantu menyelesaikan masalah rakyat.
''Mereka perlu sedar yang mereka adalah bertindak sebagai wakil rakyat dan membantu kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.
Sehubungan itu, Zambry berkata, satu jawatankuasa petugas khas ditubuhkan bagi menilai prestasi ahli majlis sedia ada sebelum perkhidmatan mereka boleh disambung semula tahun depan.
Menurut beliau, jawatankuasa itu akan membuat penilaian terhadap sumbangan ahli majlis selama ini demi memastikan perkhidmatan mereka berkualiti kepada rakyat.
''Semua itu diambil kira dalam soal pelantikan semula ahli yang benar-benar memenuhi kehendak KPI sebagaimana yang disarankan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, '' katanya sambil menambah tempoh pelantikan ahli majlis sedia ada akan tamat akhir tahun ini.
Sementara itu, Zambry berkata, kerajaan negeri telah mengarahkan dua Exco Kerajaan Negeri iaitu Datuk Hamidah Osman dan Datuk Dr. Mah Hang Soon untuk menyelesaikan masalah setinggan di kawasan Meru Tin di sini.
Beliau berkata, penyelesaian itu perlu agar masalah setinggan tidak dijadikan sentimen politik oleh mereka yang mempunyai kepentingan.

No comments: