Tuesday, November 3, 2009

Tuntutan palsu: MP Sabak Bernam antara 6 didakwa
SHAH ALAM, Nov 3 - Ahli Parlimen Sabak Bernam dari Barisan Nasional (BN), Datuk Abdul Rahman Bakri dan lima yang lain termasuk dua dari Pakatan Rakyat — kesemuanya dari Selangor — dikenakan tuduhan memalsukan tuntutan antara awal 2008 dan 2009.
Abdul Rahman, dari Umno, mengaku tidak bersalah semasa dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini pagi tadi atas lapan tuduhan memalsukan tuntutan berjumlah RM80,000 semasa beliau menjadi ADUN Sg Air Tawar.
Beliau dituduh melakukan kesalahan itu antara Januari dan Februari 2008 iaitu ketika menjelang pilihan raya umum ke-12.
Tuntutan-tuntutan itu, antaranya, membabitkan pemberian hadiah dan cenderahati untuk pelajar cemerlang, program Mesra Rakyat dan program Maulud Nabi.
Mahkamah membenarkan beliau diikat jamin dengan seorang penjamin manakala kesnya akan didengar pada 14 Disember ini.
Abdul Rahman diiringi sekumpulan penyokongnya dan juga beberapa ahli Parlimen.
Dalam pada itu, pembantu khas kepada Exco kerajaan Selangor Ronnie Liu, Wong Chuan How juga mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan mengemukakan invois palsu kepada Majlis Daerah Sepang tahun lalu.
Wong dikenakan tuduhan itu di mahkamah yang sama.
Invois itu adalah bagi pembekalan 2,500 bendera kereta bernilai RM2,500 sempena program Hari Kemerdekaan tetapi pembekalan itu tidak dilakukan.
Wong dituduh melakukan kesalahan itu pada 10 September 2008 di Pejabat Daerah Sepang.
Wong, 51, juga mengaku tidak bersalah melakukan pecah amanah berhubung sekeping cek bernilai RM5,000 untuk wang berhubung penganjuran perjumpaan Jawatankuasa Pembangunan Persekutuan dan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung di Sungai Pelek, 19 Februari lalu.
Di Mahkamah Sesyen yang lain, Wong juga mengaku tidak bersalah melakukan pecah amanah cek bernilai RM2,500 membabitkan program gotong-royong di kawasan Dewan Undangan Negeri Sungai Pelek antara 30 Julai dan 16 September 2008.
Kedua-dua tuduhan pecah amanah itu didakwa dilakukan di Pejabat Daerah Sepang.
Kes membabitkan Wong akan didengar antara 29 Mac dan 9 April tahun depan. Sembilan saksi akan dipanggil untuk memberi keterangan.
Turut didakwa ialah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai dari Gerakan, Yap Soo Soon yang berhadapan dengan tujuh tuduhan mengemukakan tuntutan palsu berasingan bagi program-program yang tidak wujud tahun lalu.
Selain Yap, turut didakwa hari ini ialah seorang pengarah syarikat GLC, Firdaus Abu Karim yang berhadapan dengan tujuh tuduhan.
Firdaus didakwa mengemukakan invois bagi tuntutan palsu menggunakan borang permohonan kerajaan yang palsu melibatkan RM10,000 bagi majlis-majlis yang tidak wujud.
Firdaus bersubahat dengan Yap bagi kesalahan tersebut.
Sementara itu, pembantu Abdul Rahman, Mohd. Rosli Bushra pula didakwa bersubahat dengan bosnya.
Mohd. Rosli minta dia dibicarakan dan dibebaskan dengan ikat jamin RM9,000.
Firdaus dan Yap yang masing-masing dibenarkan ikat jamin RM8,000 dan RM25,000 akan dibicarakan bersama.
Kes mereka akan disebut semula pada 14 Disember ini dengan perbicaraan membabitkan Firdaus dari 26 April hingga 7 Mei manakala Yap pula antara 3 hingga 7 Mei.
Bekas pembantu khas Menteri Besar Selangor, Mohd. Yahya Mat Sahri turut didakwa atas tuduhan menipu dan menggunakan dokumen palsu berhubung pembiayaan majlis sambutan 100 hari Pakatan Rakyat tahun lalu.
Dia menghadapi dua tuduhan membabitkan sumbangan RM50,000.
Yahya yang dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 akan menghadapi perbicaraan dari 12 hingga 16 April bagi tuduhan pertama dan dari 19 hingga 23 April bagi tuduhan kedua.

No comments: