Monday, November 16, 2009

Siswazah cari kerja melalui JobsMalaysia

KUALA LUMPUR 16 Nov. - Dewan Rakyat hari ini diberitahu, sebanyak 69,760 siswazah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) didaftarkan sebagai pencari kerja melalui portal JobsMalaysia sehingga 13 November lalu.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan berkata, daripada jumlah itu, 18 siswazah memiliki ijazah kedoktoran (PhD) manakala sarjana (1,165), ijazah sarjana muda (36,985) dan diploma (31,592).
"Bagaimanapun itu tidak menggambarkan jumlah sebenar penganggur di kalangan mahasiswa kerana ada yang telah bekerja tetapi berhasrat mendapatkan pekerjaan lebih baik atau bertukar tempat kerja," katanya.
Beliau menjawab soalan Datuk Baharum Mohamed (BN-Sekijang) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Maznah berkata, 73,308 pekerjaan pula didaftarkan di portal itu tahun ini dan 19,127 mahasiswa atau 26.09 peratus mendapat pekerjaan melalui sistem berkenaan.
Sementara itu, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hasan Malek berkata, kerajaan tidak berhasrat menggabungkan Felda, Risda dan Felcra dalam satu entiti.
Sebaliknya, jelas beliau, penggabungannya hanya berbentuk satu konsortium berdasarkan kepada projek baru serta kerjasama sedia ada antara ketiga-tiga agensi terbabit.
Beliau menambah, ketiga-tiga agensi tersebut kekal dengan entiti masing-masing seperti sekarang.
"Kita telah mengadakan beberapa perbincangan dan setakat ini tiga bidang kerjasama dikenal pasti. Pertama usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) bersama dalam industri sawit serta getah.
"Kedua, perkongsian pengalaman dan pengetahuan kakitangan tiga agensi berkenaan melalui pelaksanaan latihan bersama dan ketiga, kerjasama pembekalan dan pemprosesan sawit dan pemasaran hasil," katanya ketika menjawab soalan Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah (Pas-Kota Bharu).

No comments: